Selasa, 24 November 2009

LANDSKAP - MEREKABENTUK TAMAN YANG IDEAL

Taman Sebagai Sebahagian DaripadaTempat Tinggal
Kawasan di sekitar rumah merupakan ruang yang berharga yang boleh menambah ruang kehidupan kita dan mendapat keseronokan daripadanya. Taman mempunyai lantai, dinding, perabot, perkakasan, pencahayaan dan tema yang berbeza. Taman juga mempunyai siling yang mungkin dalam bentuk kanopi pokok dan pergola.
Berikut adalah perkara-perkara yang perlu difikirkan dan patut dibuat untuk menjadikan taman yang dibina itu menjadi sebuah taman yang ideal.


1. Merancang Untuk Beristirehat Di Luar Rumah Dalam Ssebuah Taman
Taman seperti rumah boleh dianggap sebagai tempat tinggal. Taman yang ideal bukan sahaja cantik tetapi memenuhi keperluan penggunanya. Bagi sesetengah orang, taman adalah sebuah kawasan yang harmoni. Mereka begitu gembira menggali, menanam, memangkas dan menikmati buah-buahan hasil tanaman mereka yang memenuhi selera dan menyenangkan mata memandang. Bagi sesetengah orang lain pula taman sebagai tempat yang tenang untuk beristirehat, selain tempat/ruang untuk melayan tetamu serta untuk memasak dan menikmati makanan. Bagi kanak-kanak pula taman merupakan tempat untuk bermain sama ada main soro-sorok atau main lompat-lompat. Merekabentuk taman yang dapat memenuhi gaya hidup seseorang dan kelihatan bergaya sambil memuaskan hati merupakan satu cabaran dan satu keseronokan. Oleh kerana itu, semasa merancang untuk merekabentuk dan membina taman perkara-perkara berikut penting untuk diteliti dan diguna pakai:

1. Persekitaran setempat - Rekabentuk dan pembinaan taman hendaklah mengambil kira dengan persekitaran setempat seperti jenis tumbuhan, iklim, jenis tanah, dan lain-lain.

2. Penyesuaian dengan cuaca - Cuaca mempengaruhi pertumbuhan tumbuh-tumbuhan taman. Cuaca yang ekstrim mempengaruhi ketahanan tumbuh-tumbuhan dan struktur binaan taman.

3. Personaliti dan gaya hidup - Sesuaikanlah rekabentuk taman dengan personaliti dan gaya hidup penggunanya.

4. Mengubahsuai taman mengikut keperluan - Binalah taman yang dapat diubahsuai pada masa-masa tertentu tanpa menjejaskan ruang dan kawasan sedia ada.


2. Menilai Lokasi/Kawasan Taman
Jika anda hendak mereka bentuk taman atau mereka bentuk semula taman di kawasan sekeliling rumah supaya kelihatan menarik, praktikal dan memenuhi keperluan anda, anda perlu mencari semua maklumat mengenai taman tersebut. Ini termasuklah memastikan ukuran taman, dan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenai ciri-ciri fizikal taman tersebut. Gunakanlah kertas, pensel, pita pengukur, dan buatlah sedikit kajian dengan merekodkan segala pemerhatian, dan melukis secara kasar gambaran taman yang dikehendaki. Maklumat-maklumat ini merupakan asas kepada reka bentuk taman yang menarik.
1. Pemandangan yang menarik - Taman yang dibentuk mestilah mempunyai pemandangan yang cantik dari pelbagai sudut. Mungkin berlatar belakangkan padang rumput, bukir bukau, tasik dan lain-lain.

2. Aspek dan kesan - Rekabentuk taman semestinya memberi kesan yang mendalam kepada penggunanya sama ada melalui penglihatan, pendengaran, atau perasaan.

3. Sebagai teduhan - Lebih menarik dan lebih berkesan jika rekabentuk taman mempunyai tempat-tempat berteduh melalui binaan pergola, gazebo atau silara tumbuhan taman.

4. Jenis tanah dan penanaman - Perhatikan dan cari maklumat mengenai jenis tanah di kawasan landskap. Ini akan membantu untuk membuat pemilihan jenis tumbuh-tumbuhan taman yang sesuai dan dapat hidup subur.

5. Dari pemerhatian kepada perancangan berskala - Perhatikan ruang dan kawasan taman secara keseluruhan lalu buat perancangan rekabentuk taman dengan skala yang tertentu dan sesuai. Manusia dan haiwan dijadikan bahan rujukan.

3. Mereka Bentuk Taman Yang Bergaya
Reka bentuk taman yang baik merupakan sesuatu yang ringkas dan memenuhi keperluan sama ada untuk gaya formal, tak formal atau gabungan kedua-duanya. Reka bentuk seharusnya memenuhi keperluan anda, mencerminkan personaliti anda, dan berada dalam keadaan harmoni dengan persekitaran. Sesuatu reka bentuk yang berjaya boleh diperolehi melalui pemerhatian, peraturan-peraturan mudah untuk memanipulasi ruang dan memberikan warna, paten dan tekstur.

1. Gaya taman - Sebaik-baiknya sebuah taman mempunyai gaya, tema dan konsep yang nyata sebagaimana yang dikehendaki oleh pengguna.

2. Bekerja dengan ruang - Taman seharusnya mempunyai ruang yang mencukupi untuk penggunanya bergerak sama ada berjalan, duduk, melompat, bekerja, dan lain-lain.

3. Kesan corak - Corak rekabentuk taman mungkin pelbagai yang dapat memberi gambaran kepelbagaian jenis tumbuhan, cara susunan tumbuhan, dan susun atur pearbot taman.

4. Penggunaan warna - Gunakanlah warna yang berbagai tertapi tersusun untuk meningkatkan seri taman terutamanya kepada warna tumbuh-tumbuhan.

5. Eksploitasi tekstur - Jika boleh eksploitasi tekstur tumbuh-tumbuhan dan struktur binaan dari segi besar kecil, susunan tinggi rendah, dan panjang pendek agar taman itu seolah-olah semula jadi.


4. Mereka Kerangka Taman
Kerangka taman bukan sahaja melibatkan ukur keliling dan pembahagian dalaman tetapi juga menentukan cara kita bergerak dalam ruang tersebut dan bagaimana kita menyusun atur setiap ruang. Kawasan ini mestilah praktikal dan ada nilai-nilai estetika. Taman sepatutnya mempunyai ruang yang besar/bersesuaian, pemandangan yang indah, udara yang segar, cahaya matahari dan suasana yang selesa. Pilihlah bahan-bahan yang sesuai untuk taman anda supaya kelihatan cantik, bergaya dan praktikal dan tujuan taman dibina.

1. Dinding - Boleh jadi tumbuh-tumbuhan pagaran atau tumbuhan renek yang disusun rapat dan dipangkas pucuknya.

2. Pintu masuk - Binalah pintu masuk atau gerbang ke kawasan taman yang menarik dan bergaya daripada bahan-bahan seperti kayu, batu, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

3. Siling - Siling taman mungkin dalam bentuk silara/kanopi tumbuh-tumbuhan naungan, pergola dan tumbuhan memanjat di atas para.

4. Lantai - Taman yang menarik mempunyai lantai seperti rumput turf, siar kaki dan batu-batu kecil

5. Aras - Aras tanah yang tinggi rendah lebih menarik jika dibandingkan aras yang mendatar. Bina dan bentuklahlah busut-busut atau bukit-bukit mini untuk menambah nilai taman.

6. Bentuk dan fungsi - Kerangka taman yang hendak dibina mestilah mempunyai fungsi yang dikehendaki oleh pengguna. Taman direkabentuk setelah perbincangan dilakukan antara tuan punya, perekabentuk, dan kontraktor.


5. Hiasan dan Susun Atur Taman
Hiasan dan susun atur taman seharusnya seperti di dalam rumah. Perhiasannya mungkin daripada struktur-struktur yang menarik, gazebo, pancutan air, ataupun pasu terra-cotta. Pencahayaan boleh menambahkan kecantikan taman pada waktu malam.

1. Prinsip-prinsip menghias - Berbincanglah dengan profesional mengenai prinsip-prinsip menghias di taman.

2. Menanam - Tumbuh-tumbuhan taman hendaklah diatur/disusun dan ditanam mengikut prosedur penanaman yang betul supaya ia tumbuh dengan sempurna.

3. Perabot taman - Pemilihan perabut taman disesuaikan dengan konsep taman yang dikehendaki oleh tuan punya atau pengguna taman dan juga keluasan taman.

4. Ciri-ciri khas/istimewa - Buat dan bina ciri-ciri khas taman atau titik tumpu supaya taman lebih kelihatan menyerlah, istimewa, dan berkesan di hati bagi sama ada pengguna lama atau pengguna baru. Ia mungkin air pancut, replika, binaan, kolam dan lain-lain.


6. Konsep Dalam Reka Bentuk Taman Yang Baik
Reka bentuk taman yang baik merupakan hasilan daripada perancangan yang teliti. Taman tidak terjadi begitu sahaja. Ia berkait rapat dengan tempat, kehendak, dan dapat memenuhi keperluan pengguna/keluarga. Taman yang baik juga mempunyai konsep-konsep tertentu. Ia bergantung dengan keinginan dan kehendak pengguna atau tuan punya taman tersebut. Antara konsep-konsep taman adalah:

1. Taman permainan.
2. Taman bukit bukau.
3. Taman rekreasi.
4. Taman bunga warna-warni.
5. Taman oasis
6. Taman air.
7. Taman hutan bandar
8. Taman Bali.
9. Taman BBQ.
10. Taman pemuzik.
11. Taman membaca.
12. Taman kanak-kanan.
13. Taman berjogging, dan lain-lain.

0 ulasan: